Inovasi: Penapis Air Singkir Kuprum | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» ARTIKEL » Inovasi: Penapis Air Singkir Kuprum

Inovasi: Penapis Air Singkir Kuprum

Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan inovasi penapis air dwi-fungsi yang berupaya mengeluarkan logam berat atau kuprum dalam air minuman. Sistem penapis air dikenali ‘Outdoor water filter with smart Beads’ juga berfungsi memantau jumlah logam berat dalam air secara berterusan untuk mengesan pencemaran kimia.

Inovasi itu adalah penyelesaian kepada kebimbangan terhadap masalah kesihatan berikutan kandungan kuprum berlebihan dalam badan. Ion kuprum yang berlebihan dalam badan boleh menjejaskan kesihatan manusia dan punca pelbagai penyakit seperti Alzheimer dan gangguan keradangan pada manusia.

Walaupun kuprum adalah unsur kimia penting dalam alam sekitar dan tubuh manusia kerana membentuk sel darah merah dan memelihara sel saraf dan imun sihat, namun ia tidak boleh berlebihan dalam tubuh. Inovasi ini dibuat selepas menyedari kebimbangan awam terhadap tahap kesihatan mereka berikutan kegagalan memenuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap paras selamat kandungan ion kuprum dalam air minuman.

Inovasi penapisan air dwi-fungsi ini menunjukkan hasil positif dan memberi pelbagai manfaat kepada pengguna khususnya menghadapi dilema pencemaran air minuman. Produk itu mencakupi penapisan dan penentuan ion kuprum dalam air minuman boleh dilakukan dengan hanya menggunakan sistem penapisan air, penghasilan mudah dan kos berpatutan serta dapat mengesan kadar toksik dalam air.

Alat dwi-fungsi mengaplikasi teknologi nano ‘Versatile Graphene’ dilihat sangat bermanfaat kepada pengguna menerusi pendekatan mudah, ekonomik dan mesra alam. Penciptaan inovasi menggunakan percetakan 3D dalam fabrikasi peranti mampu menjadi penanda aras untuk generasi seni bina tenaga pada masa depan.

Produk ini memenangi Anugerah Usahawan Penyelidik terkemuka di bawah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2018 pada Pameran dan Persidangan Produk Antarabangsa dan Persidangan Greentech & Eco Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2018. Inovasi ini juga memenangi Anugerah Khas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2019.

Sumber gambar: Berita Harian 

Prof Madya Dr Janet Lim Hong Ngee dan Dr Izwaharyanie Ibrahim (kanan) menunjukkan penapis air dwi-fungsi yang dapat mengeluarkan logam berat dalam bekalan air minuman yang dikenali sebagai 'Outdoor Water Filter With Smart Beads'

Artikel ini telah dilaporkan dalam Berita Harian pada 15 Mei 2019.

Prof Madya Dr. Janet Lim Hong Ngee
Laboratori Sintesis dan Pencirian Bahan
Institut Teknologi Maju, UPM.
hongngee@upm.edu.my

 

Tarikh Input: 27/05/2019 | Kemaskini: 01/08/2019 | nursyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0397697006
SXFRNAr~