PENYELIDIK UPM BANGUNKAN TEKNOLOGI MINYAK MASAK TERPAKAI PADA TELEFON PINTAR | INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2)
» NEWS » PENYELIDIK UPM BANGUNKAN TEKNOLOGI MINYAK MASAK TERPAKAI PADA TELEFON PINTAR

PENYELIDIK UPM BANGUNKAN TEKNOLOGI MINYAK MASAK TERPAKAI PADA TELEFON PINTAR

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Saleha Haron

SERDANG, 30 Ogos - Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencipta Pes Tiub Nano Karbon (CNT) yang diinovasikan daripada sisa minyak masak terpakai dan minyak biji rami sebagai pengikat organik.

Teknologi yang menggunakan pes atau dakwat konduktif organik yang mengaplikasikan "teknologi hijau" merupakan salah satu produk UPM di bawah syarikat Serdang Paste Tech Sdn. Bhd., terbukti dapat membantu dalam mempertingkatkan kuasa dan jalur lebar antena, iaitu elemen penting dalam penentuan prestasi antena.

Pegawai Penyelidik Insititut Nanosian dan Nanoteknologi, Ts. Dr. Intan Helina Hasan berkata, penghasilan Pes Tiub Nano Karbon (CNT) menghasilkan produk akhir yang pelbagai antaranya adalah antena.

“Inovasi ini merupakan aplikasi teknologi filem tebal untuk meningkatkan prestasi antena yang melibatkan proses pengubahsuaian komposisi bahan dan kaedah penyediaan serta fabrikasi peranti.

“Minyak masak terpakai ialah bahan mesra alam yang boleh digunakan untuk menghasilkan antena bagi mengurangkan bahan yang berbahaya kepada alam sekitar dengan menggunakan inovasi yang menggabungkan beberapa inovasi lain yang juga telah dibangunkan oleh penyelidik UPM iaitu Pes Konduktif Organik (OCP), “ katanya.

CNT yang digunakan adalah daripada paten yang difailkan iaitu kapas CNT yang dihasilkan daripada sisa minyak masak terpakai. Antena berasaskan CNT telah menunjukkan hasil yang baik dan boleh diterokai lebih lanjut untuk antena tampalan boleh cetak dalam industri telekomunikasi.

Inovasi ini menggunakan kaedah percetakan skrin, yang mana peranti boleh diubahsuai oleh pelbagai faktor.

Faktor pertama adalah bahan yang digunakan untuk dicetak pada lapisan dasar, sebagai contoh bahan berasaskan karbon, perak, atau bahan magnetik. Faktor kedua adalah pilihan lapisan dasar itu sendiri sama ada yang keras atau boleh lentur.

Fleksibiliti dan saiz antena yang kompak atau kecil juga akan menjadi daya tarikan penting produk berdasarkan inovasi ini. - UPM

Date of Input: 01/09/2022 | Updated: 01/09/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0397697006
SXETHAI~