Pengenalan Kepada RSM Siri 1 | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» BERITA » Pengenalan Kepada RSM Siri 1

Pengenalan Kepada RSM Siri 1

SERDANG, 13 April 2022 – Satu kursus pengenalan kepada Response Surface Methodology (RSM) siri pertama telah diadakan secara atas talian menggunakan platform Zoom.

Kursus ini adalah anjuran Laboratori Pemprosesan dan Teknologi Bahan Nano (NPTL), Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2). RSM adalah satu teknik yang menggabungkan kaedah matematik dan statistik yang digunakan untuk membangunkan model empirik, menambah baik dan mengoptimumkan parameter proses, dan untuk mengenal pasti interaksi di antara beberapa faktor penting bagi sesuatu eksperimen.

Kursus pengenalan dianjurkan dengan objektif untuk membantu peserta untuk mengenalpasti interaksi proses antara parameter kendiri, pembinaan model matematik sesuatu sistem, penjimatan masa dan kos melalui pengulangan simulasi betul dan salah yang tidak terhad. RSM juga dapat membantu di dalam proses awal untuk menjalankan eksperimen bagi memastikan projek yang dijalankan dapat mencapai objektif mengikut garis masa yang ditetapkan.

Kursus setengah hari ini telah menampilkan Ts. Dr. Mohd Salahuddin Mohd Basri, Pensyarah daripada Fakulti Kejuruteraan, UPM sebagai penceramah. Beliau telah memberikan penerangan yang sangat jelas tentang konsep asas RSM, perancangan dan rekabentuk eksperimen, meminimumkan kesilapan dalam rekabentuk dan analisa menggunakan perisian Minitab secara am.

Seramai 138 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan orang perseorangan yang berminat telah menghadiri kursus yang diadakan secara percuma ini. Susulan kepada sambutan yang menggalakkan daripada peserta, NPTL bercadang untuk mengadakan siri kedua kursus RSM ini yang akan melibatkan penggunaan perisian RSM secara fizikal pada masa akan datang.

Sebahagian peserta yang menyertai kursus ini.



Dilaporkan oleh,

Juraina Md Yusof
Pegawai Penyelidik NPTL

Tarikh Input: 20/04/2022 | Kemaskini: 20/04/2022 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0397697006
WXFQJAx~