Teknologi Nanoderma Sebagai Rawatan Pencegahan Penyakit Kritikal Kelapa Sawit | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» ARTIKEL » Teknologi Nanoderma Sebagai Rawatan Pencegahan Penyakit Kritikal Kelapa Sawit

Teknologi Nanoderma Sebagai Rawatan Pencegahan Penyakit Kritikal Kelapa Sawit

Pengeluaran minyak sawit adalah sumber penting bagi ekonomi negara dan Malaysia merupakan pengeluar komoditi minyak sawit kedua terbesar di dunia. Pokok kelapa sawit ditanam lebih dari 5.5 juta hektar, melebihi 60 peratus daripada keseluruhan kawasan tanah pertanian di Malaysia. Bagaimanapun, pokok ini diancam penyakit paling kritikal, iaitu ganoderma. Ancaman ini boleh mengakibatkan kerugian kira-kira RM1.5 bilion kepada negara.

Rawatan kimia fungisida dan fumigasi boleh dianggap sebagai langkah segera bagi kawalan jangka pendek penyakit itu. Penggunaan racun kulat sistemik dan fumigant tanah, bersama-sama dengan teknik penyampaian yang betul, boleh membantu menindas dan mengawal penyakit ganoderma pada kelapa sawit. Namun, sehingga hari ini tiada kawalan tunggal dilaporkan dapat mengawal penyakit ini secara berkesan di lapangan.

Penyelidikan ini dilakukan untuk menghasilkan sistem penyampaian nano anti kulat bagi rawatan penyakit ganoderma yang dikenali sebagai nanoderma. Inovasi ini menggunakan rawatan fungisida dan fumigasi bersama dengan sistem pembawa nano yang dapat menambahbaikan penghantaran agen bahan aktif untuk menghalang dan mengawal penyakit ganoderma.

Rawatan fungisida dan fumigasi terbukti menghalang pertumbuhan ganoderma boninense. Manakala, nanoteknologi terbukti dapat membantu dalam menggalakkan perkembangan di sektor pertanian. Bahan nano dalam pertanian bertujuan mengurangkan dos bahan aktif dalam produk kimia yang digunakan, meningkatkan hasil tanaman dan meminimumkan kehilangan nutrien semasa persenyawaan. Dengan menggunakan platform nanoteknologi, agen racun kulat aktif fungisida dan/atau fumigasi boleh dimasukkan ke dalam matriks biopolimer, bagi pembentukan sistem penyampaian nano-fungisida dan/atau nano-fumigasi dan mengangkutnya ke sasaran yang diingini dengan lebih berkesan.

Cecair nanoderma boleh digunakan sebagai rawatan pencegahan serta rawatan kuratif dalam memerangi penyakit ganoderma. Sebagai tindakan pencegahan, nanoderma bertindak membunuh kulat ganoderma apabila spora ganoderma bercambah sebelum mycelia dapat tumbuh dan berkembang di dalam tisu tumbuhan. Manakala bagi rawatan kuratif pula, nanoderma membasmi dan membunuh kulat ganoderma apabila mycelia menembusi parenchyma dan menghentikan penyebaran jangkitan ganoderma di dalam tumbuhan. Fungisida dan fumigasi digunakan sebagai bahan aktif, manakala biopolimer digunakan sebagai pembawa dalam pembentukan sistem penyampaian nano fungisida dan atau fumigasi.

Penggunaan nanoderma dalam memerangi penyakit ganoderma mempunyai banyak kelebihan. Antaranya, ciri pelepasan terkawal akan mengurangkan pembaziran fungisida dan meningkatkan keberkesanan fungisida. Kelebihan lain ialah pengurangan dalam pelunturan dan volatilisasi, toksisiti rendah dan inovasi hijau, dan masa edaran yang panjang membantu mengurangkan kos buruh. Teknologi nanoderma yang memulakan penyelidikan sejak Februari 2015 kini bersedia untuk dikomersialkan. Penemuan kajian itu dapat membantu mengekalkan faedah ekonomi industri kelapa sawit dengan mengawal kulat yang disebabkan ganoderma melalui sistem penyampaian nanofungisida.

Ciri pelepasan terkawal akan mengurangkan pembaziran fungisida dan meningkatkan keberkesanan fungisida. Jadi, isu-isu alam sekitar seperti lebihan dan pengumpulan fungisida dapat diminimumkan. Di samping itu, masa peredaran yang panjang akan mengatasi kekurangan pekerja dalam industri minyak sawit dengan mengurangkan kekerapan masa aplikasi terhadap pokok kelapa sawit yang dijangkiti. Sistem pengawalan racun kulat mempunyai ketoksikan yang rendah dan menjadikannya tidak berbahaya kepada mereka yang menggunakannya. Selain untuk kegunaan Industri dan perladangan kelapa sawit serta pekebun kecil, hasil inovasi ini juga boleh digunakan dalam perladangan, pasaran kelapa sawit, peladang dan pekebun kecil.

Artikel ini telah dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian pada 6 Mei 2019

Prof Dr Mohd Zobir Hussein
Laboratori Sintesis dan Pencirian Bahan
Institut Teknologi Maju, UPM.
mzobir@upm.edu.my

 

 

Tarikh Input: 10/05/2019 | Kemaskini: 07/10/2022 | nursyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0397697006
SXFCLA3~