Bengkel Perancangan Geran Penyelidikan Berfokus ION2 | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» BERITA » Bengkel Perancangan Geran Penyelidikan Berfokus ION2

Bengkel Perancangan Geran Penyelidikan Berfokus ION2

SERDANG, Januari - Keadaan ekonomi yang mencabar memberi kesan kepada ketersediaan dan pemerolehan geran penyelidikan untuk penyelidik universiti. Penaja geran lebih berminat dengan hasil penyelidikan yang lebih berimpak. Bagi menangani isu ini, Jawatankuasa Penyelidikan ION2 telah menganjurkan bengkel perancangan permohonan geran penyelidikan yang ditawarkan oleh agensi dalam dan luar negara. Bengkel yang diadakan pada 3 dan 4 Januari 2023 itu disertai 30 peserta termasuk penyelidik bersekutu, felo penyelidik dan pegawai penyelidik.

Pada hari pertama bengkel itu, peserta membincangkan permohonan geran melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). KPT dijangka membuka permohonan untuk FRGS dan geran lain pada Februari, manakala geran tajaan MOSTI terbuka sepanjang tahun. Penyelidik juga diberikan tips memohon geran MOSTI yang memfokuskan kepada pengkomersilan.

Hari kedua bengkel memfokuskan kepada geran antarabangsa, khususnya geran Tubitak-MIGHT yang kini menerima permohonan. Setiap kumpulan makmal membincangkan cadangan penyelidikan yang berpotensi untuk berkerjasama pihak Turki, dan kolaborator berpotensi dari Turki telah dihubungi untuk perbincangan yang lebih terperinci. Hasilnya, ION2 mengumpulkan tiga cadangan geran Tubitak-MIGHT, sementara beberapa penyelidik akan menyediakan kertas cadangan untuk geran FRGS (KPT) dan geran TED2 (MOSTI).

Hasil perbincangan bengkel diharapkan dapat membantu dalam penghasilan kertas cadangan berimpak tinggi dan akhirnya mendapat kelulusan geran, seterusnya menyumbang kepada peningkatan prestasi ION2 dan UPM pada tahun ini.

 

Dilaporkan oleh,
Ts. Dr. Intan Helina Hasan
Pegawai Penyelidik, FNDL

 

Tarikh Input: 29/03/2023 | Kemaskini: 31/03/2023 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0397697006
SXEdNA3~