SERDANG, 25 Februari – Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Nanomaterials Technology Webinar 2026 secara dalam talian menerusi platform Google Meet. Webinar pada tahun ini telah menampilkan dua pakar dalam bidang masing-masing, iaitu Prof. Dato’ Dr. Abdul Wahab Mohammad dari Universiti Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta Cik Nur Sabrina Wahid dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Program tersebut berjaya menarik penyertaan seramai 80 peserta yang terdiri daripada warga UPM, universiti awam dan swasta, selain wakil agensi kerajaan serta pihak industri. Sesi berdurasi dua jam itu telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Norizah Abdul Rahman. Objektif penganjuran webinar Adalah untuk berkongsi perkembangan terkini serta aplikasi nanoteknologi khususnya dalam sektor pertanian dan alam sekitar.
Dalam pembentangan pertama, Cik Nur Sabrina Wahid menghuraikan usaha menterjemahkan platform nano seperti nano-emulsi dan nano-enkapsulasi kepada penyelesaian praktikal dalam pertanian. Beliau memfokuskan kepada pembangunan formulasi nanobiokawalan bersepadu berasaskan spesies Bacillus dan nanopartikel kitosan sebagai rawatan benih bagi mengawal penyakit Bacterial Panicle Blight. Walaupun kos formulasi nano bersepadu tersebut masih lebih tinggi berbanding penggunaan kuprum sulfat konvensional, pendekatan ini dilihat lebih selamat dan mampan kerana mampu merangsang sistem pertahanan tanaman serta meningkatkan kestabilan bahan aktif.
Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Abdul Wahab Mohammad membincangkan peranan strategik bahan nano dalam mempertingkatkan teknologi membran osmosis songsang (RO), yang amat penting bagi menjamin keselamatan air terutamanya di negara yang bergantung kepada penyahgaraman air laut seperti UAE. Pengintegrasian nanomaterial dalam membran RO membantu mengatasi isu utama seperti pemendapan kotoran (fouling) dan kompromi antara kebolehtelapan serta selektiviti (perm-selectivity trade-off). Pendekatan ini berpotensi meningkatkan prestasi dan kecekapan tenaga bagi pembangunan generasi baharu membran penapisan air.
Pihak ION2 berharap perkongsian ilmu melalui webinar ini dapat mencetuskan idea baharu dan membuka ruang kolaborasi antara penyelidik, industri dan agensi berkaitan. Inisiatif seumpama ini dilihat mampu menyumbang kepada usaha memperkukuh keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar, selaras dengan aspirasi universiti dan negara.

Dilaporkan oleh,
Dr. Siti Zulaika Razali
Pengawai Penyelidik NPTL, ION2
Tarikh Input: 05/03/2026 | Kemaskini: 05/03/2026 | roslina_ar

Institut Nanosains dan Nanoteknologi,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia