86 Kertas Kerja ISAMN2022 Dibentangkan Sepanjang Program 2 Hari | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» BERITA » 86 Kertas Kerja iSAMN2022 dibentangkan sepanjang program 2 hari

86 Kertas Kerja iSAMN2022 dibentangkan sepanjang program 2 hari

SERDANG, Disember 2022 – 86 kertas persidangan, termasuk ucaptama dan kertas jemputan, telah dibentangkan dalam Simposium Antarabangsa Bahan Termaju dan Nanoteknologi kali ke-6 (iSAMN2022). Persidangan tahunan itu diadakan secara dalam talian selama dua hari, 7 – 8 Disember 2022. 

iSAMN2022 yang bertemakan "Kelestarian melalui Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Nanoteknologi Hijau” telah disertai oleh peserta daripada 29 institusi dalam dan luar negara seperti Indonesia, Filipina, Perancis, India, Japan, Thailand, Mesir dan Australia. Kepelbagaian latar belakang peserta membolehkan petukaran ilmu yang meluas sepanjang program dua hari ini.

Simposium ini menjadi landasan bagi para peserta untuk berkongsi hasil penyelidikan masing-masing dan menimba ilmu pengetahuan dalam bidang Bahan Termaju dan Nanoteknologi. Topik yang paling diminati dalam simposium ini ialah Peranti Nanoteknologi (23%), diikuti oleh Bahan Pintar, Nano dan Eko (20%), dan masing-masing sebanyak 17% bagi Bahan Struktur Berfungsi dan Kesihatan serta Sains Perubatan dan Bioteknologi.

Kertas pembentangan iSAMN2022 yang terpilih akan diterbitkan dalam Isu Khas International Journal of Chemical and Biochemical Sciences (IJCBS) dan American Journal of Engineering and Applied Sciences by the International Scientific Organization (AJEAS).

Pengerusi iSAMN2022, Prof. Madya Dr. Che Azurahanim Che Abdullah dalam ucapan penutup berkata, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu kehormat, penceramah jemputan, peserta dan rakan kerjasama korporat atas sokongan dalam menjayakan simposium pada kali ini. Saya yakin setiap pembentang menyampaikan karya penyelidikan mereka untuk penyebaran dan perkongsian ilmu dengan berkesan. Saya amat berharap, hasil daripada pembentangan dan perbincangan dapat menyumbang kepada penciptaan kekayaan, pembinaan negara, dan kemajuan manusia di negara masing-masing. Walaupun sumbangan itu kecil, ia tetap bernilai.”

Prof. Madya Dr. Che Azurahanim menutup iSAMN2022 dengan menyerahkan amanat penganjuran iSAMN2023 kepada Prof. Madya Dr. Jaafar Abdullah, Ketua Makmal Peranti Nanoteknologi Fungsian (FNDL). Beliau berharap iSAMN2023 akan mendapat lebih sokongan dan penyertaan yang bakal membawa peluang kerjasama penyelidikan pada masa akan datang.

 

Dilaporkan oleh,

Dr. Mohd Hafizuddin Ab Ghani
Pegawai Penyelidik, NSCL

Tarikh Input: 21/12/2022 | Kemaskini: 21/12/2022 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0397697006
SXEdJAL~