ION2 UPM Perkukuh Kerjasama Antarabangsa Menerusi UPM-CU Lecture Series | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2) 127
» BERITA » ION2 UPM Perkukuh Kerjasama Antarabangsa Menerusi UPM-CU Lecture Series

ION2 UPM Perkukuh Kerjasama Antarabangsa Menerusi UPM-CU Lecture Series

SERDANG, Ogos 2026 – Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama Fakulti Sains, Chulalongkorn University (CU), Thailand, telah menganjurkan UPM-CU Lecture Series 1/2026 secara dalam talian menerusi platform Google Meet pada 21 Ogos 2026.

Siri syarahan pertama bagi tahun 2026 ini mengetengahkan topik “Recent Advancements in Algal Biotechnology: Carbon Capture, Storage, & Utilization”, dengan penyertaan seramai 46 peserta dari dalam dan luar negara. Peserta terdiri daripada pelajar, penyelidik serta wakil industri daripada pelbagai latar belakang akademik dan profesional.

Syarahan tersebut disampaikan oleh penceramah jemputan dari Chulalongkorn University, Penolong Profesor Dr. Pichaya In-Na daripada Jabatan Teknologi Kimia, Fakulti Sains. Sesi berkenaan dikendalikan oleh Ts. Dr. Mohd Hafizuddin Ab Ghani, penyelidik ION2, UPM, selaku moderator.

Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan terkini dalam bidang bioteknologi alga, khususnya berkaitan penangkapan, penyimpanan dan penggunaan karbon. Perkongsian ilmu ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 13: Tindakan Iklim.

Sesi tersebut turut menekankan potensi mikroalga sebagai salah satu pendekatan bioteknologi hijau dalam menangani isu perubahan iklim dan pemanasan global, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan dan penerokaan bidang penyelidikan baharu.

Penganjuran bersama ini juga menjadi platform bagi memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama akademik antarabangsa antara UPM dan Chulalongkorn University. Inisiatif berterusan seperti ini diharapkan dapat menggalakkan pertukaran idea, memperluas jaringan akademik serta membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan berimpak tinggi pada masa akan datang.

 


Dilaporkan oleh,

Ts. Dr. Mohd Hafizuddin bin Ab Ghani
Pegawai Penyelidik NPTL

Tarikh Input: 26/08/2026 | Kemaskini: 26/08/2026 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
X, (01:03:48pm-01:08:48pm, 01 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]