Bengkel Pasca-iSAMN2024 Memfokuskan Sintesis Dan Pencirian Pemangkin Nano | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2) ion2
» BERITA » Bengkel Pasca-iSAMN2024 Memfokuskan Sintesis dan Pencirian Pemangkin Nano

Bengkel Pasca-iSAMN2024 Memfokuskan Sintesis dan Pencirian Pemangkin Nano

SERDANG, 10 Oktober 2024 – Bengkel "Exploring Nanocatalyst Synthesis & Characterisation," yang dianjurkan susulan 8th International Symposium on Advanced Materials and Nanotechnology (iSAMN2024) telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Oktober 2024 di Institut Nanosains dan Nanoteknologi, Universiti Putra Malaysia. Bengkel ini direka khas untuk memberi pendedahan peserta berkenaan teknik sintesis dan analisis pencirian pemangkin nano.

Bengkel ini telah menarik penyertaan lapan peserta dari Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, serta dua peserta antarabangsa dari Kaduna State University, Nigeria. Rata-rata peserta melahirkan rasa teruja dengan pendekatan interaktif yang diterapkan sepanjang sesi, yang memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung dan bermakna.

Sesi ini telah dikendalikan oleh dua pakar dalam bidang nanoteknologi: Prof. Dr. Chawalit Ngamcharussrivichai, Profesor Adjung di Institut Nanoscience dan Nanoteknologi (ION2) dari Universiti Chulalongkorn, Thailand, dan Ts. Dr. Umer Rashid, Felo Penyelidik ION2, UPM. Mereka telah berjaya membimbing peserta melalui topik-topik yang mencabar namun disampaikan secara menarik dan mudah difahami.

Maklum balas daripada peserta amat positif, dengan ramai yang menyatakan minat mendalam terhadap pengalaman praktikal yang diberikan, pendedahan menyeluruh tentang teknologi pemangkin nano, serta pendekatan kuliah yang interaktif dan memikat. Salah seorang peserta menyatakan, "Segala-galanya sangat menarik," menggambarkan kepuasan mereka terhadap bengkel ini. Peserta turut memuji dedikasi fasilitator dan penganjur yang memastikan setiap sesi berjalan dengan lancar dan memberi manfaat.

Dengan pencapaian yang menggalakkan ini, bengkel "Exploring Nanocatalyst Synthesis & Characterisation" telah berjaya melakar satu lagi kejayaan penting dalam misi ION2 untuk menjadi peneraju dalam bidang nanoteknologi di peringkat global.

 

Dilaporkan oleh,
Dr. Siti Zulaika Razali
Pegawai Penyelidik, NPTL

Tarikh Input: 18/10/2024 | Kemaskini: 18/10/2024 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
X, (03:48:33am-03:53:33am, 16 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]