Bengkel Printed Electronics: Fabrication And Application | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» BERITA » Bengkel Printed Electronics: Fabrication and Application

Bengkel Printed Electronics: Fabrication and Application

SERDANG, 15 September - ION2 menganjurkan bengkel pasca iSAMN2023 bertajuk "Printed Electronics: Fabrication and Application" pada 14 dan 15 September 2023, di Laboratori Peranti Nanoteknologi Fungsian, ION2 baru-baru ini. Bermula pada tahun 2017 dengan nama 'Thick Film Fabrication Workshop,' bengkel ini telah terhenti selama 3 tahun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tahun ini, bengkel ini dianjurkan sempena penganjuran iSAMN2023 sebagai pasca bengkel dan dijenamakan semula sebagai “Printed Electronics: Fabrication and Application”.  . Seperti tahun-tahun sebelumnya, bengkel ini merupakan usaha kerjasama dengan syarikat pemula ION2, Serdang Paste Tech Sdn. Bhd., dan rakan industri Khai Lien Silk Screen Supplies (KLSS) Sdn. Bhd.

Hari pertama dimulakan dengan sesi amali yang menumpukan kepada penyediaan pes filem tebal. Selepas rehat, bengkel diteruskan dengan demonstrasi mengenai pengujian pes yang dihasilkan menggunakan rheometer untuk menganalisis corak aliran. Pada sebelah petang pula dijalankan sesi ceramah pengenalan kepada teknologi cetakan skrin dan filem tebal oleh Prof. Dr. Mohd Nizar Hamidon. Seterusnya, bengkel diteruskan dengan pengujian menggunakan 4 point probe, memperkenalkan peserta kepada teknik untuk mendapatkan bacaan resistif dan konduktif bagi filem tebal yang dihasilkan.

Hari kedua bermula dengan lawatan ke fasiliti Khai Lien Silk Screen Supplies Sdn. Bhd. di Semenyih. En. Lucas Goh, Pengurus Kanan KLSS, menerangkan proses pembuatan skrin stensil dalam sesi ceramahnya. Peserta kemudiannya dibawa ke bahagian pembuatan untuk memberikan pengalaman langsung kepada proses keseluruhan penyediaan stensil. Bengkel disambung dengan demonstrasi pengujian sensor gas di makmal FNDL pada sebelah petang, memperlihatkan bagaimana sensor yang difabrikasi menggunakan kaedah cetakan skrin diuji menggunakan sistem pengujian gas yang dibangunkan.

Maklum balas dari peserta pada akhir bengkel kebanyakannya adalah positif, dengan harapan untuk diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Bengkel ini dijangka dapat memupuk rangkaian antara peserta yang memiliki skop atau minat penyelidikan serupa, terutamanya dalam bidang elektronik bercetak.

 

Dilaporkan oleh,
Dr. Intan Helina Hasan
Pegawai Penyelidik, ION2

Tarikh Input: 26/09/2023 | Kemaskini: 26/01/2024 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0397697006
SXEdHAA~