SERDANG, 6 Ogos - Bengkel PEFAN2025 telah berjaya diadakan pada 5 dan 6 Ogos 2025 di Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), menghimpunkan para penyelidik, ahli akademik, pakar industri, serta agensi kerajaan untuk pembelajaran, aktiviti praktikal, dan pendedahan industri yang memfokuskan kepada aplikasi elektronik bercetak berkaitan nanoteknologi selama dua hari.
Hari pertama dimulakan dengan ceramah bertajuk Pengenalan kepada Teknologi Filem Tebal dan peranannya yang semakin berkembang dalam elektronik bercetak, disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Nizar Hamidon. Peserta memperoleh pemahaman menyeluruh tentang prinsip asas serta aplikasi terkini dalam bidang ini. Sesi praktikal pada sebelah pagi diteruskan dengan aktiviti menyediakan pes filem tebal menggunakan formulasi berasaskan bahan nano oleh peserta sendiri. Selepas rehat tengah hari, sesi petang diteruskan dengan demonstrasi pengukuran reologi yang penting untuk menilai sifat kelikatan dan aliran pes. Seterusnya, peserta menjalani aktiviti praktikal percetakan skrin, menggunakan pes yang dihasilkan sendiri untuk dicetak ke atas substrat bagi membentuk litar.
Hari kedua bermula dengan lawatan teknikal ke Khai Lien Sdn. Bhd., peserta dapat meneliti proses penghasilan stensil, sekali gus memberi pendedahan sebenar terhadap amalan industri dalam elektronik bercetak. Sesi petang di ION2 dimulakan dengan demonstrasi pengukuran kekonduksian elektrik, yang merupakan aspek penting dalam menilai prestasi litar. Akhir sekali, bengkel diakhiri dengan aktiviti melengkapkan litar bercetak; peserta dapat merasai aplikasi sebenar elektronik bercetak dalam bentuk litar mudah yang terdiri daripada suis, LED, dan bateri yang dihubungkan dengan garisan bercetak menggunakan pes karbon yang telah disediakan sebagai penyambung.
Peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai latar belakang universiti, agensi kerajaan, dan sektor industri, membolehkan pertukaran ilmu serta kerjasama rentas disiplin yang terjalin sepanjang pelaksanaan bengkel melalui sesi perbincangan.
Kesimpulannya, edisi ke-8 PEFAN2025 ini bukan sahaja menjadi landasan untuk membina kemahiran teknikal, tetapi juga sebagai medan untuk memperkukuh kerjasama dalam memajukan keupayaan Malaysia dalam inovasi nanoteknologi dan elektronik bercetak.



Dilaporkan oleh;
Ts. Dr. Intan Helina Hasan
Pegawai Penyelidik FNDL, ION2
Tarikh Input: 11/08/2025 | Kemaskini: 11/08/2025 | roslina_ar

Institut Nanosains dan Nanoteknologi,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia