ION2 Perkasa Budaya Kerja Kondusif Melalui Ops Hijau 2026 | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» BERITA » ION2 Perkasa Budaya Kerja Kondusif Melalui Ops Hijau 2026

ION2 Perkasa Budaya Kerja Kondusif Melalui Ops Hijau 2026

10 Julai 2026 – Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh komitmen dalam membudayakan amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) melalui penganjuran Ops Hijau 2026: Program Gotong-Royong EKSA ION2 Bilangan 1 Tahun 2026. Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan persekitaran kerja di ION2 sentiasa berada dalam keadaan teratur, sistematik, bersih dan kondusif, selaras dengan aspirasi peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Seramai 36 warga ION2 terlibat dalam pelbagai aktiviti penambahbaikan melibatkan ruang pejabat, makmal, bilik gunasama dan Sudut EKSA. Aktiviti yang dilaksanakan merangkumi penyeragaman penandaan (tagging), penyusunan dan pelabelan aset, penyediaan etika penggunaan bilik serta peralatan, penyelenggaraan Sudut EKSA, pemasangan papan tanda dan tanda arah, serta semakan pematuhan terhadap kriteria EKSA UPM.

Program dimulakan dengan taklimat oleh Encik Muhammad Adib Zahier bin Zainudin, Penyelaras Jawatankuasa Pelaksana EKSA ION2, yang menekankan kepentingan penglibatan aktif seluruh warga dalam memastikan amalan EKSA diterapkan secara berterusan. Sesi bergambar bersama Prof. Ir. Ts. Dr. Suhaidi Shafie, Pengarah ION2 merangkap Penaung Jawatankuasa Pelaksana EKSA ION2, turut diadakan sebelum aktiviti diteruskan di setiap zon.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Prof. Madya Dr. Mas Jaffri Masarudin dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Hajar Othman selaku mentor zon. Melalui Ops Hijau 2026, ION2 bukan sahaja memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Penilaian Peringkat Kedua Anugerah Kualiti Persekitaran Tempat Kerja (Pelaksanaan Amalan EKSA) yang dijadualkan pada 28 Julai 2026, malah terus membudayakan amalan kerja berkualiti dan penambahbaikan berterusan dalam kalangan warga institut.

 


Dilaporkan oleh:
Muhammad Adib Zahier bin Zainudin 

Tarikh Input: 29/07/2026 | Kemaskini: 29/07/2026 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
X, (01:15:11pm-01:20:11pm, 31 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]