Ignite ION2 2025 Perkukuh Semangat Kerjasama Dan Kekitaan Warga ION2 | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2) ion2
» BERITA » Ignite ION2 2025 Perkukuh Semangat Kerjasama dan Kekitaan Warga ION2

Ignite ION2 2025 Perkukuh Semangat Kerjasama dan Kekitaan Warga ION2

Putrajaya, 16 Disember 2025 – Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), UPM telah berjaya menganjurkan Program Team Building Ignite ION2 2025 bertempat di Glamping @Wetland Putrajaya. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang ini bertujuan mempererat hubungan kerja, memperkukuh kerjasama berpasukan serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga ION2.

Penyertaan menyeluruh kakitangan ION2 dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu ION2 Gempak, Skuad Nano, Team Ionizer, Geng Elektron dan Proton Power. Pembentukan kumpulan secara rawak ini bertujuan menggalakkan interaksi merentas unit, di samping mengasah kemahiran kepimpinan serta semangat bekerjasama dalam suasana santai dan kondusif.

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi sebelum peserta menerima taklimat ringkas daripada fasilitator. Aktiviti seterusnya ialah Treasure Hunt yang melibatkan empat stesen cabaran, menuntut kerjasama erat, pemikiran kreatif serta kebolehan menyelesaikan masalah secara berpasukan. Selepas rehat makan tengah hari, para peserta meneruskan aktiviti dengan sesi Telematch yang merangkumi enam permainan interaktif dan mencabar, sekali gus menyuntik elemen keseronokan serta persaingan sihat sepanjang program berlangsung.

Kemuncak acara diserikan dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik dan sesi cabutan bertuah yang menambahkan keterujaan para peserta. Program kemudiannya diakhiri dengan minum petang sebelum semua peserta bersurai.

Secara keseluruhan, penganjuran Ignite ION2 2025 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh hubungan kerja, meningkatkan kesepaduan organisasi serta mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni dan positif. Inisiatif seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong kecemerlangan berterusan ION2.





Dilaporkan oleh,
Roslina Abdul Rashid
Pegawai Sains, ION2

Tarikh Input: 30/12/2025 | Kemaskini: 30/12/2025 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
X, (06:56:56am-07:01:56am, 19 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]