ION2 Pupuk Bakat STEM Melalui NanoDidik @Perak | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2) 127
» BERITA » ION2 pupuk bakat STEM melalui NanoDidik @Perak

ION2 pupuk bakat STEM melalui NanoDidik @Perak

TAPAH, 10 Jun - ION2 telah berjaya menganjurkan program NanoDidik @Perak 2026 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Sri Bitara, Sekolah Menengah Sains Tapah (SESTA), Perak. Program ini merupakan salah satu inisiatif berterusan dalam usaha memupuk minat dan bakat dalam bidang STEM, khususnya nanosains dan nanoteknologi dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan guru.

Memasuki tahun keempat penganjuran, NanoDidik terus memperkukuh peranannya sebagai platform pemindahan ilmu yang menghubungkan pengetahuan sains termaju dengan pembelajaran di peringkat sekolah. Usaha ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang potensi besar teknologi nano dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, tenaga, elektronik, alam sekitar dan bahan termaju.

Seramai kira-kira 150 guru Kimia dan pelajar Tingkatan 4 dari sekolah-sekolah sekitar negeri Perak telah menyertai program ini. Sepanjang pelaksanaan program, para peserta telah mengikuti sesi penerangan, aktiviti interaktif dan demonstrasi yang direka untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap konsep asas nanoteknologi serta aplikasi dunia sebenar.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak strategik termasuk Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN Perak), serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kehadiran wakil KPM Putrajaya sebagai pemerhati turut menambah nilai kepada program ini, mencerminkan minat dan sokongan berterusan kementerian terhadap inisiatif pengukuhan pendidikan STEM di sekolah.

ION2 turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan, guru-guru, jawatankuasa penganjur, pelajar serta warga SESTA atas kerjasama dan sokongan yang amat baik sepanjang program berlangsung. Tidak ketinggalan, penghargaan juga diberikan kepada semua fasilitator dan urus setia yang telah memastikan kelancaran program sepanjang dua hari tersebut.

Sebagai program yang kini memasuki tahun keempat, NanoDidik terus menunjukkan impak positif dalam usaha memperluaskan literasi STEM dalam kalangan pelajar. ION2 komited untuk meneruskan usaha ini bagi melahirkan generasi muda yang lebih celik sains, berinovasi dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.




Dilaporkan oleh,
Roslina Abdul Rashid

Tarikh Input: 26/06/2026 | Kemaskini: 29/06/2026 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
X, (05:21:33pm-05:26:33pm, 07 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]