SERDANG, 22 September – Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menerima kunjungan Prof. Dr. Emre Gür dari Fakulti Sains, Jabatan Fizik, Universiti Eskisehir Osmangazi, Türkiye, pada 9 hingga 17 September 2025.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada projek kerjasama penyelidikan antarabangsa MIGHT–TÜBİTAK antara universiti beliau dan Dr. Ismayadi Ismail daripada ION2, UPM, dengan penglibatan tambahan daripada Serdang Paste Tech. Sepanjang penempatan penyelidikan di makmal ION2, Prof. Gür terlibat dalam eksperimen bersama, sesi perbincangan serta perkongsian ilmu bersama penyelidik UPM.
Sebagai kemuncak lawatan, pada Jumaat, 12 September 2025 jam 10.00 pagi, beliau telah menyampaikan syarahan jemputan antarabangsa di bawah Siri Syarahan Jemputan Antarabangsa ION2 bertajuk “From 2D Transition Metal Dichalcogenides to the 3D Transition Metal Oxides; Growth, Processing and Device Applications.” Syarahan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga akademik, penyelidik, serta pelajar pascasiswazah, sekali gus mencerminkan kepentingan hasil kajian beliau kepada komuniti saintifik.
Dalam pembentangannya, Prof. Gür menghuraikan secara terperinci mengenai bahan dua dimensi (2D) seperti WSâ‚‚, MoSâ‚‚, WSeâ‚‚ dan MoSeâ‚‚ yang mempunyai sifat elektronik, optik, dan pemangkin yang luar biasa. Beliau menekankan peranan penting bahan ini dalam teknologi generasi baharu termasuk semikonduktor, superkonduktor, serta aplikasi berkaitan tenaga.
Beliau turut menerangkan bagaimana filem nipis 2D boleh direka bentuk menjadi struktur nano tiga dimensi (3D) melalui kaedah sputtering dan chemical vapor deposition (CVD). Transformasi ini, jelas beliau, mampu meningkatkan luas permukaan, mengubah morfologi struktur, serta mewujudkan fungsi baharu. Antara contoh, MoS₂ dan WS₂ boleh dioksidakan secara terkawal menjadi MoO₃ dan WO₃, sekali gus memperluas kebolehgunaan bahan ini dalam pelbagai integrasi peranti.
Syarahan diakhiri dengan perbincangan mengenai aplikasi praktikal, Prof. Gür berkongsi dapatan terkini mengenai integrasi bahan ini dalam sistem penyimpanan tenaga (superkapasitor), peranti elektronik (field-effect transistor), dan penyelesaian tenaga mampan (sel suria). Beliau turut menyentuh potensi besar dalam teknologi pengesanan gas, yang membuka peluang baharu dalam pemantauan alam sekitar dan keselamatan industri.
Pada Rabu, 17 September 2025, Prof. Gür turut mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pengarah ION2, Prof. Dr. Suraya Abdul Rashid, bagi sesi ramah mesra. Pertemuan ini menjadi landasan untuk mengukuhkan hubungan institusi serta mengiktiraf kemajuan projek kolaborasi tersebut.
Prof. Suraya menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada pasukan penyelidik dengan berkata “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dr. Ismayadi atas projek antarabangsa bersama Prof. Emre dari Türkiye melalui geran MIGHT–TÜBİTAK yang turut melibatkan Serdang Paste Tech. Ini adalah contoh terbaik penyelidikan translasi berimpak dari ION2. Syukur alhamdulillah. Teruskan usaha yang baik ini!”
Lawatan ini menegaskan komitmen ION2 dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, memajukan penyelidikan sains bahan, dan membina jaringan akademik yang bermakna.

Dilaporkan oleh,
Dr. Ismayadi Ismail
Pegawai Penyelidik, NSCL, ION2
Tarikh Input: 24/09/2025 | Kemaskini: 24/09/2025 | roslina_ar

Institut Nanosains dan Nanoteknologi,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia