Bangi, 9 Oktober 2024 – 8th International Symposium on Advanced Materials and Nanotechnology (iSAMN2024) telah berjaya diadakan pada 8-9 Oktober 2024 bertempat di Hotel Bangi Resort, Bandar Baru Bangi. Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) berasa bangga kerana terpilih berkolaborasi dengan Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) sempena program Minggu Nano Kebangsaan ke-10 (nanoKEB2024) yang berlangsung dari 6 hingga 12 Oktober 2024 di lokasi yang sama.
Konferens ini telah dirasmikan oleh Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Majlis turut diserikan dengan kehadiran dif-dif kehormat seperti Prof. Dr. Zamberi bin Sekawi, Timbalan Naib Canselor UPM (Penyelidikan dan Inovasi), Ts. Mohd Helme bin Mohd Helan, Pemangku Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Ts. Dr. Daniel Bien Chia Sheng, Naib Presiden Kanan NanoMalaysia Berhad, Dekan Fakulti Sains UPM, serta Ketua Pustakawan UPM.
Dengan tema "Nanotechnology Pathway to Net-Zero Emissions by 2050", iSAMN2024 membawakan dua penceramah utama serta empat penceramah jemputan yang terdiri daripada pakar-pakar nanoteknologi dari dalam dan luar negara. Mereka telah berkongsi tentang penyelidikan masing-masing dalam bidang nanoteknologi yang menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). Tema iSAMN2024 menekankan peranan penting nanoteknologi dalam mencapai sasaran pelepasan sifar bersih karbon menjelang tahun 2050.

Konferens selama dua hari ini telah menarik lebih daripada 80 peserta dari pelbagai negara termasuk Malaysia, India, Thailand, Australia, Jepun, Vietnam, dan Nigeria, dengan lebih 50 pembentangan yang merangkumi pelbagai bidang nanoteknologi seperti Nanosensor & Nanoelektronik, Bahan dan Produk Hijau, Pemantauan dan Pemulihan Alam Sekitar, Penuaian Tenaga/Penyimpanan Tenaga, Pemodelan, Sintesis dan Pemprosesan Bahan Nano, serta Aplikasi Bioperubatan.
iSAMN2024 bukan sahaja menjadi platform untuk berkongsi pengetahuan dan penyelidikan terkini dalam bidang bahan maju dan nanoteknologi, tetapi juga mengukuhkan kerjasama strategik antara negara serta industri dalam usaha menangani cabaran alam sekitar global. ION2 dan NNC berharap agar kolaborasi ini akan terus berlanjutan, seiring dengan usaha Malaysia menuju masa depan yang lebih mampan dan bebas karbon.
Simposium ini melambangkan komitmen yang kukuh terhadap penyelidikan inovatif dan kerjasama antarabangsa, serta menyokong perkembangan pesat nanoteknologi dalam mencapai matlamat pelepasan sifar bersih.

Dilaporkan oleh,
Dr. Siti Zulaika Razali
Pegawai Penyelidik, NPTL
Tarikh Input: 18/10/2024 | Kemaskini: 18/10/2024 | roslina_ar

Institut Nanosains dan Nanoteknologi,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia