SERDANG, 26 Jun 2026 – Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) telah menganjurkan Majlis Sanjungan Budi dan Penghargaan bagi meraikan persaraan Puan Juraina Md. Yusof yang akan menamatkan perkhidmatan beliau dan bersara wajib berkuat kuasa pada 2 Julai 2026 selepas lebih 24 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam.
Majlis yang berlangsung pada jam 4.00 petang di Dewan Seminar, Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) itu dihadiri oleh warga institut bagi menzahirkan penghargaan atas jasa, komitmen dan dedikasi beliau sepanjang berkhidmat.
Puan Juraina memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 11 Februari 2002 apabila dilantik sebagai Pegawai Sains (C41). Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau terus menunjukkan kecemerlangan dan komitmen yang tinggi sehingga menerima lantikan sebagai Pegawai Penyelidik (Q41) pada 25 Ogos 2008.
Kecemerlangan dan pengalaman beliau kemudiannya diiktiraf melalui kenaikan pangkat daripada Pegawai Penyelidik Q41 kepada Pegawai Penyelidik Q44 pada 1 Ogos 2016. Sepanjang lebih dua dekad perkhidmatan, beliau telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan penyelidikan serta kecemerlangan Institut Nanosains dan Nanoteknologi.
Majlis ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan beliau, malah menjadi medan untuk mengenang pelbagai kenangan dan pengalaman yang telah dikongsi bersama warga ION2 sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Warga Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Puan Juraina Md. Yusof atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan serta mendoakan agar beliau sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kesejahteraan dalam menempuh fasa baharu kehidupan selepas persaraan.
"Jasa Dikenang, Budi Disanjung."



Dilaporkan oleh,
Siti Hajarul Kasdi
Tarikh Input: 30/06/2026 | Kemaskini: 30/06/2026 | roslina_ar

Institut Nanosains dan Nanoteknologi,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia