31 Disember 2025, SERDANG – Laboratori Sintesis dan Pencirian Bahan Nano, Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima dua pelajar PhD dari Fakultas Kedokteran, Universitas Brawijaya, Indonesia bagi menyertai Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa selama sebulan, bermula 4 hingga 31 Disember 2025.
Program ini merupakan kesinambungan daripada beberapa siri mobiliti penyelidikan terdahulu, yang bertujuan memperkukuh jaringan penyelidikan serantau serta memupuk pertukaran pengetahuan dan pengalaman saintifik.
Dua pelajar tersebut, Diana Yuswanti Putri dan Sri Utami, menjalankan penyelidikan bertajuk “Nano-Encapsulated Syringic Acid Chitosan Synthesis via Ionic Gelation Method” dan “Nano-Encapsulated Betaine Chitosan Synthesis via Ionic Gelation Method”. Penyelidikan ini melibatkan aktiviti sintesis dan pencirian bahan nano dengan menggunakan kemudahan makmal serta peralatan penyelidikan berteknologi tinggi yang tersedia di ION2, memberikan pendedahan praktikal dan pengalaman antarabangsa yang berharga kepada pelajar.
Sepanjang program, mereka telah diselia oleh Prof. Dr. Sharida Fakurazi dan Prof. Madya Dr. Mas Jaffri Masarudin, dengan sokongan teknikal dan penyelidikan daripada Dr. Rosnah Nawang, En. Nazrul Abdullah, Pn. Noor Lina Shamsudin serta pelajar siswazah ION2.
Inisiatif ini mencerminkan perkembangan positif dalam kolaborasi akademik dan penyelidikan antarabangsa, membuka peluang untuk projek bersama, penerbitan penyelidikan dan jaringan jangka panjang yang lebih strategik antara kedua-dua institusi pada masa hadapan.

Dilaporkan oleh,
Dr. Rosnah Nawang
Tarikh Input: 30/01/2026 | Kemaskini: 09/02/2026 | roslina_ar

Institut Nanosains dan Nanoteknologi,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia