Serdang, 15 Mei 2025 – Laboratori Pemprosesan dan Teknologi Bahan Nano (NPTL) di bawah Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM), berjaya menganjurkan Webinar Teknologi Bahan Nano 2025 dengan kerjasama Lembaga Juruteknologi Malaysia (MBOT). Sesi dua jam itu dijalankan melalui Google Meet. Seramai 181 peserta dari Universiti Putra Malaysia, universiti tempatan dan swasta, serta wakil daripada agensi kerajaan dan industri telah mengikuti webinar ini.
Webinar ini dikendalikan oleh Ts. Dr Umer Rashid yang telah menampilkan dua orang penceramah yang terkenal dalam bidang masing-masing iaitu Prof. Dr. Yun Wang dari Universiti Griffith, Australia dan Ir. Ts. Mohamed Syazwan Osman dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang. Objektif utama webinar ini adalah untuk berkongsi pengetahuan dan perkembangan terkini nanoteknologi dalam sektor alam sekitar dan pertanian.
Penceramah pertama, Prof. Dr. Yun Wang telah berkongsi mengenai Simulasi Operando untuk Reka Bentuk Bahan dengan mengetengahkan pendekatan teori dan simulasi di sebalik rekabentuk kefungsian bahan dan tindakbalas kimia. Manakala penceramah kedua, Ir. Ts. Mohamed Syazwan telah membentangkan ceramah bertajuk ‘Koloid Partikel Nano dalam Aplikasi Pertanian’, di mana ia meneroka potensi koloid partikel nano untuk meningkatkan produktiviti dan kelestarian pertanian.
Sesi ini terbukti sangat menarik, dengan segmen Soal Jawab yang aktif mencerminkan minat dan penglibatan peserta. Kepelbagaian latar belakang peserta menunjukkan perkembang teknologi bahan nano merentasi pelbagai disiplin ilmu dan sektor.
Kejayaan webinar ini membuktikan dedikasi ION2 untuk menggalakkan kerjasama dan perkongsian pengetahuan dalam sektor nanoteknologi alam sekitar dan pertanian.


Dilaporkan oleh,
Dr. Siti Zulaika Razali
Pegawai Penyelidik NPTL
Tarikh Input: 29/05/2025 | Kemaskini: 29/05/2025 | roslina_ar

Institut Nanosains dan Nanoteknologi,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia