SERDANG, 21 Oktober 2025 – Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan bangganya meraikan kejayaan cemerlang para penyelidik, rakan bersekutu dan kolaboratornya yang tersenarai dalam World’s Top 2% Most-Cited Scientists 2025, senarai berprestij yang diterbitkan oleh Elsevier BV dan disusun oleh Universiti Stanford, Amerika Syarikat.
Pengiktirafan ini menonjolkan impak global penyelidikan yang dijalankan oleh warga ION2 dalam memperkasa pengetahuan dan inovasi dalam bidang nanosains dan nanoteknologi.
Bagi kategori Single Year 2025, seramai 13 penyelidik ION2 berada dalam kalangan 85 penyelidik UPM yang diiktiraf atas prestasi sitasi dan pengaruh penyelidikan yang tinggi dalam bidang masing-masing. Manakala bagi kategori Career-long Impact, seramai tujuh penyelidik ION2 turut tersenarai bersama 49 penyelidik UPM, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan dan impak jangka panjang mereka dalam pembangunan ilmu pengetahuan.
Penyenaraian penyelidik ION2 dalam senarai antarabangsa ini membuktikan kekuatan ekosistem penyelidikan institut yang berasaskan kolaborasi, inovasi dan kecemerlangan merentas disiplin. Ia turut memperkukuh komitmen ION2 dalam menghasilkan penyelidikan bertaraf dunia selaras dengan aspirasi UPM sebagai universiti penyelidikan berimpak global.
ION2 merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penyelidik yang diiktiraf atas dedikasi, kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam memajukan bidang nanosains dan nanoteknologi serta mengharumkan nama UPM di persada antarabangsa.

Tarikh Input: 23/10/2025 | Kemaskini: 23/10/2025 | roslina_ar

Institut Nanosains dan Nanoteknologi,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia