SERDANG, 21 Oktober 2025 – Unit Pentadbiran dan Kewangan, Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program bertajuk “Nilai di Sebalik Happy” bertempat di Dewan Seminar ION2, baru-baru ini.
Program selama dua jam itu menampilkan Pn. Rafidah Sadarudin, Ketua Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM sebagai penceramah jemputan. Beliau berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai kesejahteraan emosi serta kepentingan membina budaya kerja yang positif dan seimbang dalam kehidupan seharian.

Inisiatif ini merupakan usaha ION2 menyahut saranan Pejabat Pendaftar UPM agar setiap jabatan dan pusat tanggungjawab melaksanakan program yang menyokong kesejahteraan warga kerja. Melalui pendekatan yang santai, program ini memberi ruang kepada peserta untuk mengenal pasti nilai kebahagiaan sebenar serta memahami cara mengekalkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Pelbagai aktiviti interaktif dan sesi perkongsian turut diadakan bagi menggalakkan staf berkongsi pengalaman, berkomunikasi secara terbuka dan saling menyokong antara satu sama lain. Program ini bukan sahaja menceriakan suasana kerja tetapi juga memperkukuh hubungan silaturahim dan sokongan emosi sesama warga ION2.
Secara keseluruhan, program “Nilai di Sebalik Happy” berjaya mencipta impak positif dalam meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kesejahteraan diri dan semangat kebersamaan di tempat kerja.

Dilaporkan oleh:
Wan Nur Syarmimie Wan Azman
Tarikh Input: 23/10/2025 | Kemaskini: 23/10/2025 | roslina_ar

Institut Nanosains dan Nanoteknologi,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia