SERDANG, 4 Mac - Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) telah menganjurkan Program Tazkirah Ramadhan bertajuk “Terbukanya Pintu-Pintu Syurga” bertempat di Dewan Seminar ION2, bermula pada jam 10.00 pagi. Program ini diadakan bersempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan serta menjadi salah satu inisiatif memberikan pengisian rohani dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memperbanyakkan amalan ibadah dalam kalangan warga institut.
Tazkirah tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Johari yang berkongsi mengenai keistimewaan bulan Ramadan sebagai bulan yang dipenuhi rahmat dan keampunan serta peluang untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Dalam penyampaiannya, beliau menghuraikan kepentingan memanfaatkan Ramadan dengan sebaiknya melalui peningkatan ibadah, penghayatan nilai sabar dan pembentukan akhlak terpuji dalam kehidupan seharian.
Beliau turut menegaskan bahawa Ramadan merupakan peluang terbaik bagi umat Islam memperbanyakkan amalan seperti berpuasa, bersedekah, membaca al-Quran dan melakukan pelbagai kebajikan. Para hadirin juga diingatkan agar menjadikan bulan ini sebagai medan memperbaiki diri, meningkatkan keimanan serta memperkukuh hubungan sesama insan.
Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada warga ION2 yang hadir bagi menambah ilmu serta menghayati keindahan dan keistimewaan Ramadan. Suasana majlis yang santai namun penuh pengisian memberi ruang kepada peserta untuk menghayati mesej yang disampaikan.
Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai landasan memperkukuh nilai kerohanian dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga institut. Program ini dianjurkan oleh Kelab Kebajikan dan Sosial ION2.

Dilaporkan oleh,
SITI HAJARUL KASDI
Tarikh Input: 12/03/2026 | Kemaskini: 12/03/2026 | roslina_ar

Institut Nanosains dan Nanoteknologi,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia