Qarbotech, Peserta Akhir Lima Teratas Kebangsaan Dalam Program Accelerate2030 | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» BERITA » Qarbotech, Peserta Akhir Lima Teratas Kebangsaan dalam Program Accelerate2030

Qarbotech, Peserta Akhir Lima Teratas Kebangsaan dalam Program Accelerate2030

SERDANG, Julai 2021 - Qarbotech, salah satu syarikat pemula UPM-Innohub yang diasaskan oleh Prof. Ts. Dr Suraya Abdul Rashid telah dicalonkan sebagai lima peserta akhir teratas dalam Program Accelerate2030 di peringkat kebangsaan.

Accelerate2030 merupakan program terbesar di dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menyokong usahawan yang baru muncul dan sedang membangun di pasaran bagi meningkatkan penyelesaian mereka untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDGs). Bidang fokus pada tahun 2021 adalah untuk menyokong penyelesaian untuk setiap SDG, dalam menghadapi krisis COVID-19 dan ekonomi selepasnya, terutama mencari penyelesaian yang berkaitan dengan Kitaran Ekonomi, akses kepada Kesejahteraan dan Kesihatan yang baik serta Air Bersih.

 

Qarbotech yang ditubuhkan pada tahun 2018, adalah sebuah syarikat pemula dengan kepakaran meningkatkan kadar fotosintesis tanaman melalui teknologi inovatif mereka berasaskan titik kuantum karbon. Inovasi yang dipanggil Harvast ini mampu meningkatkan kadar fotosintesis antara 20 hingga 80 peratus bergantung pada jenis tanaman. Peningkatan kadar fotosintesis menggalakkan pertumbuhan tanaman, memendekkan tempoh penuaian dan meningkatkan hasil. Mereka bercita-cita untuk menyumbang ke arah mencapai SDG dengan mempercepat inisiatif kitaran ekonomi nasional, serantau dan global.

"Saya pada mulanya tergamam semasa pengumuman itu dan sekarang sangat teruja untuk terlibat dalam program berprestij seperti ini. Ini akan menjadi proses pembelajaran yang besar buat kami memandangkan kami perlu sedia dengan minda untuk meningkatkan teknologi seiring dengan keperluan masyarakat global. Pendedahan pertama kami bersama peserta akhir lain yang dianjurkan oleh UNDP melalui perjumpaan dalam talian Zoom memberikan gambaran tentang apa yang dilakukan oleh orang lain di negara lain. Ini adalah pengalaman pertama kami mengenai jaringan antarabangsa dan sokongan dari semua usahawan yang beraspirasi tinggi, ia sungguh luar biasa. "kata Suraya yang juga Ketua Laboratori Pemprosesan Bahan dan Teknologi (MPTL).

Peserta akhir kebangsaan akan mendapat akses kepada bimbingan kesediaan, bengkel dan kursus, acara dan peluang jaringan, akses kepada modal dan banyak lagi. Tahap seterusnya adalah pemilihan peserta akhir global pada bulan Oktober 2021. Semoga berjaya pasukan Qarbotech!

Tarikh Input: 29/07/2021 | Kemaskini: 29/07/2021 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0397697006
SXEdOAl~