Staf ION2 Aktif Sertai Putra I-Games Kali Pertama | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» BERITA » Staf ION2 Aktif Sertai Putra i-Games Kali Pertama

Staf ION2 Aktif Sertai Putra i-Games Kali Pertama

SERDANG, 13 Februari - Staf Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) telah mengambil bahagian dalam kejohanan sukan antara institut UPM, Putra i-Games, yang julung kali dianjurkan bertempat di Stadium UPM.

Program ini memperlihatkan empat gabungan institut yang bertanding. ION2 berada dalam Gabungan 4, bersama Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), dan Institut Ekosains Borneo (IEB), UPM Sarawak. Tujuan utama penganjuran Putra i-Games adalah untuk memberi peluang kepada staf institut dan akademi terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan sambil mengamalkan gaya hidup sihat, memupuk semangat kerjasama, setiakawan dan perpaduan, serta menyediakan pendedahan dalam pengurusan sukan dan kejohanan berskala kecil sebagai asas pembangunan kemahiran kepimpinan dan organisasi.

Majlis perasmian dimulakan pada jam 8.00 pagi dan diteruskan dengan sesi senamrobik sebagai pembuka tirai program. Sepanjang kejohanan, staf ION2 menunjukkan kesungguhan dan semangat berpasukan yang tinggi dalam pelbagai acara sukan yang disertai, termasuk badminton, ping pong, bola tampar, Flip Bottle Challenge, Fit Step, Penalti 5 Sebelah, Blindfold Challenge, dart, dan tarik tali.

Walaupun tidak berjaya menjuarai keseluruhan kejohanan, penglibatan staf ION2 tetap mendapat pujian kerana menonjolkan sikap kerjasama, dedikasi dan semangat kesukanan yang tinggi. Program ini diharap menjadi platform berterusan bagi mengeratkan silaturrahim, mengukuhkan jenama UPM, serta menyokong aspirasi universiti dalam membudayakan sukan dan kesejahteraan warga kerja.

Penyertaan ION2 dalam Putra i-Games kali pertama ini jelas menunjukkan bahawa staf institut bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan penyelidikan, tetapi juga aktif dalam memupuk gaya hidup sihat serta nilai kerjasama dalam kalangan warga kerja. Syabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah memberi komitmen sepenuhnya.

 

Dilaporkan oleh,
Roslina Abdul Rashid
Pegawai Sains

Tarikh Input: 27/02/2026 | Kemaskini: 27/02/2026 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
W, (06:02:42pm-06:07:42pm, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]