ION2 @ UNIVERSITI CHULALONGKORN, THAILAND: SANGKUTAN PENYELIDIKAN | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» BERITA » ION2 @ UNIVERSITI CHULALONGKORN, THAILAND: SANGKUTAN PENYELIDIKAN

ION2 @ UNIVERSITI CHULALONGKORN, THAILAND: SANGKUTAN PENYELIDIKAN

SERDANG, MAC 2024 – Satu Program Sangkutan Penyelidikan di Universiti Chulalongkorn (CU), Bangkok Thailand telah berjaya diikuti oleh Ts. Dr. Mohd Hafizuddin bin Ab Ghani, Pegawai Penyelidik dari Laboratori Sintesis dan Pencirian Bahan (NSCL), Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), UPM. Program sangkutan selama seminggu bermula pada 17 hingga 23 Mac 2024 itu telah diselia oleh Prof. Dr. Chawalit Ngamcharussrivichai, Pengarah, Pusat Kecemerlangan dalam Pemangkinan Biotenaga dan Bahan Kimia Boleh Diperbaharui (CBRC), Fakulti Sains, Universiti Chulalongkorn di Thailand.

 

Program Sangkutan Penyelidikan merupakan program yang membolehkan pegawai UPM untuk meningkatkan pengalaman penyelidikan di universiti terkemuka lain di luar negara. Program ini juga bertujuan mendapat kemahiran penyelidikan yang relevan serta mendapat pengetahuan penyelidikan dalam budaya penyelidikan di luar negara. Pengalaman ini bertujuan membantu membina rangkaian profesional dan menjadi ahli profesional yang berjaya dalam kerjaya dan bidang kepakaran yang dipilih.

 

Dr. Hafizuddin telah memilih Universiti Chulalongkorn sebagai destinasi ideal untuk menjalankan sangkutan penyelidikan kerana ianya mempunyai gabungan kecemerlangan akademik, kemudahan bertaraf dunia, pakar bidang, peluang penyelidikan yang pelbagai, peluang kerjasama antarabangsa, persekitaran yang menyokong, dan lokasi strategik. Malah, Universiti Chulalongkorn merupakan salah satu universiti yang paling berprestij dan disegani di Thailand dan rantau ini. Sejarah panjang kecemerlangan akademik dan sumbangan penyelidikan meletakkannya sebagai pilihan utama untuk mengikuti sangkutan penyelidikan.

                                            

Program Sangkutan Penyelidikan ke Chulalongkorn University adalah bertujuan untuk melakukan penyelidikan bersama-sama kumpulan penyelidik di “Center of Excellence in Catalysis for Bioenergy and Renewable Chemicals (CBRC)”. Program ini, dapat memberi pendedahan dan mempertingkatkan kemahiran penyelidikan melalui perkongsian rancangan, pengetahuan penyelidikan dan perbincangan bersama pakar bidang di CU.

 

Selain itu, kerjasama penyelidikan ini turut dapat memberi peluang dan pengalaman untuk menggunakan kemudahan makmal yang terdapat di institusi tersebut. Program ini dapat menggalakkan kerjasama dengan penyelidik antarabangsa untuk menghasilkan penerbitan dan projek yang boleh meluaskan lagi skop penyelidikan. Program sangkutan ini juga membantu penyelidik meningkatkan lagi kepakaran dan berinovasi dalam bidang yang diceburi. Pada masa yang sama, penyertaan dalam program sebegini membolehkan imej keterlihatan institut dan UPM di persada antarabangsa dapat dipertingkatkan.

 

Disediakan oleh,

Ts. Dr. Mohd Hafizuddin Abd Ghani
Pegawai Penyelidik NSCL, ION2

Tarikh Input: 29/03/2024 | Kemaskini: 26/04/2024 | nurnazeera

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0397697006
SXEdIAA~