Penganjuran Hari Inovasi ION2 Sempena Sambutan 50 Tahun Jubli Emas UPM | INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
» BERITA » Penganjuran Hari Inovasi ION2 sempena Sambutan 50 Tahun Jubli Emas UPM

Penganjuran Hari Inovasi ION2 sempena Sambutan 50 Tahun Jubli Emas UPM

SERDANG, Jun 2022 - Hari Inovasi ION2 telah dianjurkan pada 14 Jun 2022 bertempat di Dewan Seminar ION2 sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM sebagai sebuah universiti. Program ini bertujuan untuk mempamerkan hasil-hasil penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan, di samping berhubung dengan agensi dan industri tempatan untuk bersama-sama membangunkan teknologi nano dalam hasil produk tempatan. Program ini juga dalam pada masa yang sama memberi peluang kepada ION2 untuk terus meningkatkan keterlihatan sebagai institut yang berfokuskan kepada nanoteknologi, terutamanya selepas penjenamaan semula pada 15 November 2021 yang lepas.

Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Hasan Mad, ahli Lembaga Pengarah UPM, yang juga turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari sebagai wakil ahli Pengurusan UPM.

Dalam ucapannya, Dato’ Dr. Hasan Mad menyeru penyelidik-penyelidik yang pakar dalam bidang nanoteknologi (nanotechnologists) untuk menawarkan khidmat “nanosolutions”, di mana penyelidik membantu pemain industri dalam memperlihatkan bagaimana nanoteknologi boleh mempertingkatkan produktiviti bisnes mereka. Menurut beliau, jaringan antara pakar, pemain industri & agensi amat penting dalam menterjemahkan apa juga teknologi dan kepakaran yang telah terbina sekian lama di ION2 untuk segera dimanfaatkan.

Pada penganjuran kali ini, ION2 berjaya mengumpulkan sejumlah 16 pameran produk-produk dan teknologi berasaskan nano dalam UPM yang sedia dikomersialkan untuk dipamerkan kepada tetamu jemputan dengan harapan dapat menerokai peluang pengkomersialan dengan pihak industri dan agensi tempatan. Kehadiran wakil-wakil agensi dan industri tempatan terutamanya yang bernaung di bawah Majlis Perundingan Melayu (MPM) juga amat memberangsangkan. Diharap agar perbincangan antara penyelidik dan pemain industri tempatan bersama agensi peneraju bidang nanoteknologi seperti Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dan NanoMalaysia Berhad dapat mencapai objektif penganjuran program ini iaitu mengangkat produk nano untuk pengkomersialan.

 

Disediakan oleh,
Ts. Dr. Intan Helina Hasan
Pegawai Penyelidik, FNDL
 

Tarikh Input: 29/06/2022 | Kemaskini: 29/06/2022 | roslina_ar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT NANOSAINS DAN NANOTEKNOLOGI (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697533
0397697006
SXEdJA6~