Bintulu, 7 Mac 2026 – Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Pertanian semester empat dari Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menganjurkan Program Pembelajaran Berasaskan Khidmat Masyarakat Malaysia University for Society (SULAM) bertemakan C2C Crop to Compost, dengan kerjasama Jabatan Sains dan Teknologi, UPMS. Program ini berjaya menarik penyertaan lebih daripada 42 orang peserta yang terdiri daripada pelajar serta guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong.
Dalam sesi perkongsian ilmu bertajuk From Harvest to Zero Waste yang diadakan di SMK Kidurong, para pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Pertanian telah berkongsi pengetahuan berkaitan teknik penuaian serta pendekatan inovatif dalam memproses hasil pertanian seperti kelapa sawit dan nanas kepada produk bernilai serta kompos organik. Perkongsian ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai amalan pertanian lestari yang menekankan konsep pengurusan sisa secara optimum (zero waste).
Selain itu, para pelajar turut diberi peluang untuk membentangkan kreativiti masing-masing melalui aktiviti penghasilan bungkusan produk berasaskan kelapa sawit dan nanas menggunakan lukisan di atas kad manila. Aktiviti ini bukan sahaja memupuk kreativiti, malah menggalakkan pelajar berfikir secara inovatif dalam mempromosikan produk pertanian.
Program ini turut menampilkan aktiviti hands-on yang memberi peluang kepada para peserta untuk menyediakan baja organik menggunakan bahan-bahan organik. Dengan ini, para peserta dapat memahami dengan lebih mendalam proses penghasilan kompos serta kepentingannya dalam pengurusan sisa pertanian secara lestari.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan Program SULAM: C2C Crop to Compost di SMK Kidurong berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sisa pertanian secara mampan. Program ini turut menggalakkan komuniti sekolah untuk memanfaatkan sisa pertanian seperti nanas dan kelapa sawit dengan menukarkannya kepada kompos organik. Melalui pengalaman pembelajaran secara praktikal ini, para pelajar dapat memahami kepentingan amalan kitar semula sisa pertanian serta mengamalkan pendekatan yang lebih mesra alam demi kelestarian alam sekitar.
Date of Input: 30/03/2026 | lanz

Institute of Nanoscience and Nanotechnology,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia