JALINAN ILMU DAN INDUSTRI: UPMS & NING PLANTERS PACU BIOINDUSTRI NANAS SARAWAK | INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2) ion2

JALINAN ILMU DAN INDUSTRI: UPMS & NING PLANTERS PACU BIOINDUSTRI NANAS SARAWAK

MIRI, 9 Januari 2026 - Seramai 69 orang pelajar Bacelor Sains Bioindustri dengan Kepujian (BSBI) dari Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menyertai lawatan industri ke Ning Planters Sdn. Bhd., sebuah syarikat peneraju dalam pengeluaran nanas varieti Sarawak Gold 1 (SG1).

Lawatan ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada keperluan kursus Fisiologi Lepastuai (CAG3012) dan Pengembangan dan Jaringan Industri (CES3201), bertujuan memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai aplikasi sebenar sains bioindustri dalam operasi komersial berskala besar.

Lawatan tersebut telah diiringi oleh Dr. Nuratika Tamimi binti Sheikh Mohamed dan Cik Siaw Shin Yee selaku penyelaras dan pengajar kursus, serta penolong pegawai sains, Encik Shahminan Masuut dan Puan Siti Fatimah Razali. Sepanjang program, pelajar berpeluang memahami keseluruhan rantaian nilai pengeluaran nanas SG1, bermula daripada penyediaan bahan tanaman berkualiti, pengurusan ladang, sehinggalah ke proses lepas tuai dan pemprosesan hiliran.

Fokus utama turut diberikan kepada penggunaan parameter saintifik dalam penentuan indeks kematangan buah, teknik penggredan, serta sistem pembungkusan berteknologi moden bagi mengekalkan kualiti dan mengurangkan kerugian pasca tuai. Pendedahan ini membantu pelajar menghubungkait teori yang dipelajari di dalam kelas dengan amalan industri sebenar.

Rombongan pelajar disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ning Planters Sdn. Bhd., Dato Yap Foot Loy, manakala sesi perkongsian industri telah disampaikan oleh Pegawai Eksekutif, Encik Kyle Chin Hee. Beliau menekankan kepentingan integrasi teknologi, data dan inovasi dalam memastikan kelestarian serta daya saing industri nanas di Sarawak.

Program ini memberi impak yang besar kepada pelajar dengan merangsang pemikiran kritis, meningkatkan keyakinan diri serta memupuk minat terhadap kerjaya dalam sektor bioindustri. Jalinan kerjasama strategik antara UPMS dan Ning Planters Sdn. Bhd. ini diharap dapat diteruskan bagi memastikan kurikulum pengajian sentiasa relevan dengan keperluan industri, sekali gus melahirkan graduan yang berdaya saing dan berwawasan dalam memajukan sektor bioindustri negara.

Date of Input: 26/03/2026 | lanz

MEDIA SHARING

INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
W, (08:59:49pm-09:04:49pm, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]