KUNJUNGAN HORMAT UPMS BERSAMA WAZAN UPM KE TABUNG BAITULMAL SARAWAK | INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2) ion2

KUNJUNGAN HORMAT UPMS BERSAMA WAZAN UPM KE TABUNG BAITULMAL SARAWAK

5 Mei 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) bersama Pusat Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) Universiti Putra Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat ke Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan pengukuhan kerjasama strategik dalam aspek pengurusan wakaf, zakat serta kebajikan pelajar.

Delegasi UPMS diketuai oleh YBhg. Prof. Dr. Shahrulrazid Bin Sarbini, Pengarah Kampus UPMS bersama Encik Noor Hakim Bin Ahmad, Ketua Pentadbiran UPMS dan Encik Abang Syahman Hakim Bin Mohamadin, Pegawai WAZAN UPMS.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah delegasi daripada WAZAN UPM yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Haris Bin Dahlan, Pengarah WAZAN UPM bersama pegawai-pegawai WAZAN yang lain. Ketibaan delegasi telah disambut mesra oleh YBrs. Ustaz Hj. Mohd. Yusree B. Hj. Mohd Zain, Ketua Sektor Operasi dan pegawai-pegawai Tabung Baitulmal Sarawak yang terlibat.

Kunjungan hormat ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama antara institusi serta membincangkan beberapa agenda berkaitan pembangunan pengurusan wakaf, zakat dan kebajikan mahasiswa di UPMS.

Hasil daripada perbincangan tersebut, pihak Tabung Baitulmal Sarawak turut menyatakan persetujuan untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar fakir di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) sebagai salah satu inisiatif kebajikan yang berterusan. Bantuan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar yang memerlukan, khususnya dalam menampung keperluan asas, kebajikan harian serta kelangsungan pengajian mereka di kampus.

UPMS merakamkan setulus penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, YBhg. Datu Haji Abang Mohd Shibli bin Abang Mohd Nailie, atas kesudian menerima serta meluluskan kunjungan hormat delegasi UPMS dan WAZAN UPM ke Tabung Baitulmal Sarawak.

Penghargaan yang tidak terhingga juga dirakamkan atas layanan penuh mesra, keterbukaan serta kesudian pihak Tabung Baitulmal Sarawak menyantuni delegasi kami sepanjang sesi perbincangan berlangsung. Kesediaan pihak TBS untuk berkongsi pandangan dan memberikan sokongan terhadap hasrat UPMS dalam memperkukuh pengurusan zakat dan kebajikan mahasiswa amat dihargai dan menjadi satu suntikan semangat kepada pihak kami.

Semoga jalinan ukhuwah dan kerjasama strategik ini terus diperkasakan demi manfaat bersama serta kesejahteraan warga kampus, khususnya pelajar yang memerlukan.

Date of Input: 22/06/2026 | lanz

MEDIA SHARING

INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
W, (04:19:29am-04:24:29am, 09 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]