MAHASISWA UPMS TERAJUI SKUAD PUTRA HYDROGROW, JAYAKAN AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN MELALUI PERTANIAN LESTARI | INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2) ion2

MAHASISWA UPMS TERAJUI SKUAD PUTRA HYDROGROW, JAYAKAN AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN MELALUI PERTANIAN LESTARI

BINTULU, 21 JUN 2026 – Seramai 35 peserta terdiri daripada pelajar SMK Bintulu telah menyertai Skuad Putra HydroGrow, sebuah program yang diperkenalkan sebagai satu platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang menggabungkan elemen hidroponik dengan pembangunan sahsiah dan potensi diri pelajar anjuran Pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa, Kumpulan 101, Semester Kedua, Sesi Akademik 2025/2026, Universiti Putra Malaysia Sarawak.

Program ini berlangsung selama dua hari pada 20 hingga 21 Jun 2026 (Sabtu dan Ahad) di Dewan Cenderawasih, Sekolah Menengah Kebangsaan Bintulu. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Encik Muhammad Abdul Rahim bin Habib (Pegawai Psikologi, Universiti Putra Malaysia Sarawak), Puan Pauline Anak Engkasan (Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Bintulu), Puan Caroline (Guru Akademik SMK Bintulu), Puan Nur Asyiqin binti Zaidi (Penasihat Program) dan Uma Barathi A/P Ramu (Pengarah Program).

Sepanjang program berlangsung, peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti menarik dan interaktif termasuk sesi ice-breaking, ceramah motivasi bertajuk Growing Plants, Growing Potentials: Agriculture as a Therapy yang disampaikan oleh Dr. Chan Siaw Leng, aktiviti Explorace Hydroponics, ceramah interaktif Apa Itu Hidroponik? oleh Dr. Shiamala Devi Ramaiya, cabaran reka bentuk dan label kreatif hidroponik serta aktiviti hands-on membina sistem hidroponik.

Aktiviti-aktiviti ini berjaya meningkatkan minat peserta terhadap bidang pertanian moden serta memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Menariknya, program ini turut menggalakkan penglibatan aktif peserta daripada pelbagai peringkat umur sekolah menengah sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang inklusif dan kolaboratif. Para peserta menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi dalam menyelesaikan tugasan berkumpulan selain berjaya menghasilkan idea-idea kreatif melalui cabaran dan pertandingan yang dijalankan sepanjang program.

Menurut pihak penganjur, objektif utama penganjuran Skuad Putra HydroGrow adalah untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan pertanian lestari serta memperkenalkan teknologi hidroponik sebagai salah satu inovasi masa hadapan. Program Skuad Putra yang julung kali dianjurkan oleh kursus Kokurikulum Berkredit di Universiti Putra Malaysia Sarawak ini adalah program yang berbentuk pemindahan ilmu berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan.

Pelaksanaan Program Skuad Putra (Pertanian untuk Rakyat) ini adalah bagi menjayakan pelan tindakan Blueprint UPM dia dalam skop keterjaminan makanan. Penganjuran program ini diharap dapat memberi impak positif kepada para peserta dengan meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang hidroponik dan pertanian moden, di samping memupuk nilai ketekunan, kreativiti dan semangat kerjasama.

Program seumpama ini juga membuktikan komitmen mahasiswa UPMS dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui aktiviti pendidikan yang berimpak tinggi dan berorientasikan pembangunan modal insan.

Date of Input: 02/07/2026 | lanz

MEDIA SHARING

INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
W, (06:38:52pm-06:43:52pm, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]