BINTULU – Program SULAM EduAgro Young Farmers: Bendi Buddies telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Bintulu, Sarawak dengan penglibatan seramai 40 orang pelajar Tahun 6 bersama 42 orang pelajar Diploma Pengurusan Perladangan Makanan dari Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS). Program ini turut disertai oleh dua orang guru sekolah, iaitu Cikgu Nur Batrisyia Binti Mohamed Asri dan Cikgu Monika Anak Dampa.
Program ini merupakan sebahagian daripada kursus CES2241 Pengembangan Pertanian yang dianjurkan oleh pelajar Diploma Pengurusan Perladangan Makanan Semester Kedua Sesi Akademik 2025/2026, Universiti Putra Malaysia Sarawak, di bawah seliaan pensyarah kursus, Cik Siaw Shin Yee, dengan kerjasama pihak Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Bintulu. Program ini juga dilaksanakan berasaskan pendekatan SULAM (Service-Learning Malaysia – University for Society) yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat kepada komuniti.
Program ini telah dilaksanakan dalam dua fasa utama, iaitu fasa penanaman pada 11 Februari 2026 dan diikuti dengan fasa penuaian serta penjagaan tanaman pada 1 April 2026 sebagai hari penutup program.
Persediaan Awal Tapak
Pada 28 Januari 2026, kerja persediaan dijalankan di net house sekolah melibatkan pembersihan kawasan, pemasangan silver shine, penyediaan media tanaman, pembinaan sistem saliran serta penyusunan polybeg. Penyemaian anak benih bendi turut dilakukan di Universiti Putra Malaysia Sarawak sebagai persediaan awal.
Aktiviti Penanaman dan Hands-on
Pada 11 Februari 2026, aktiviti utama iaitu pemindahan anak pokok bendi telah dilaksanakan bersama pelajar sekolah di dalam net house. Program dimulakan dengan sesi taklimat ringkas sebelum aktiviti praktikal dijalankan secara bersama. Pendekatan hands-on ini memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk merasai pengalaman sebenar dalam penanaman tanaman serta memahami teknik asas pertanian dengan lebih berkesan.
Perkongsian Ilmu dan Demonstrasi
Pada 1 April 2026, sesi susulan telah diadakan dengan penglibatan seramai 23 orang pelajar, 4 orang ibu bapa dan 2 orang guru. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk demonstrasi cara penuaian hasil dan pemangkasan yang betul. Selain itu, sesi ini turut merangkumi penerangan mengenai pengurusan tanaman bendi yang betul, demonstrasi teknik pemangkasan, pendedahan terhadap serangan perosak, kaedah penggunaan racun perosak yang betul serta perbincangan tentang kesan negatif sekiranya tanaman tidak diurus dengan baik. Peserta juga diberi peluang untuk melihat contoh sebenar tanaman yang diserang perosak sebagai pembelajaran praktikal.
Impak & Tujuan Program
Program ini bertujuan untuk berkongsi ilmu selaras dengan konsep pengembangan pertanian, di mana pengetahuan daripada institusi pendidikan disampaikan terus kepada komuniti. Melalui program ini, para peserta berpeluang mempelajari teknik penanaman bendi yang betul, memahami kepentingan pengurusan tanaman dengan sistematik, menyedari risiko dan kesan sekiranya tanaman tidak dijaga dengan baik, serta memperoleh pengalaman praktikal melalui aktiviti hands-on.
Penutup
Secara keseluruhannya, Program SULAM EduAgro Young Farmers: Bendi Buddies berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar sekolah serta komuniti tentang amalan pertanian yang baik. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah menjadi platform pembelajaran bermakna kepada pelajar universiti dalam mengaplikasikan ilmu secara langsung di lapangan.
Date of Input: 23/04/2026 | lanz

Institute of Nanoscience and Nanotechnology,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia