BINTULU: Para pelajar Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) diterapkan ilmu berkaitan komunikasi saintifik bagi mempersiapkan mereka menghadapi keperluan industri di negara ini melalui Seminar Kimia Industri 2026 (SKI 2026) di Hotel Promenade Bintulu di sini pada Rabu.
Seminar bertemakan Menghubungkan Penyelidikan, Inovasi dan Industri itu merupakan anjuran Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPMS telah menghimpunkan pembentangan penyelidikan pelajar tahun akhir serta sesi perkongsian oleh wakil akademia, badan profesional dan industri.
Berucap merasmikan program itu Ketua Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPMS ChM Dr Azizul Hakim Lahuri berkata, SKI 2026 menjadi wadah penting untuk memperkukuh keyakinan pelajar dalam komunikasi saintifik serta mempersiapkan graduan menghadapi keperluan industri.
Katanya, SKI 2026 berfungsi sebagai platform akademik berstruktur untuk pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia Industri dengan Kepujian membentangkan dapatan kajian, mempertahankan pendekatan metodologi dan menjawab soalan penilai dalam suasana yang menepati piawaian profesional.
Sementara itu, pengarah program ChM Dr Sivasangar Seenivasagam berkata, program itu merupakan hasil usaha bersama para pelajar, staf akademik dan rakan strategik yang berkongsi komitmen terhadap ketelitian akademik serta persediaan profesional.
Jelasnya, antara penceramah jemputan ialah Datuk Profesor ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin (PutraCAT UPM), ChM Dr Cindy Tan Soo Yun (Institut Kimia Malaysia Cawangan Sarawak) dan Patricia Balla dari OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd.
Program ini turut mengetengahkan kertas kerja pembentangan pelajar yang mana Chai Jia Xin membentangkan kajian bertajuk Pembangunan fotomangkin komposit ferit atau bioarang mangan dengan kos efektif yang diperoleh daripada rumpai itik untuk degradasi tetrasiklin dalam sesi selari, katanya.
Katanya, kajian tersebut menumpukan pembangunan komposit bioarang mangan berasaskan rumpai itik untuk rawatan pencemar antibiotik tetrasiklin disokong oleh ujian pencirian dan penilaian prestasi fotopemangkinan.
Selain pengisian akademik katanya, SKI 2026 turut memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan peserta iaitu Anugerah Pembentang Terbaik yang dimenangi Siti Nurfatin Nadya dan Nur Syahirah Najibah Muhammad Azam serta Anugerah Poster Terbaik dimenangi Nur Syakirah Mohd Rafah.
Menurutnya, komitmen UPMS adalah untuk mengukuhkan hubungan antara latihan akademik, amalan profesional dan keperluan industri sambil membina kompetensi komunikasi saintifik, pemikiran analitikal serta akauntabiliti penyelidikan dalam kalangan graduan kimia industri.
Date of Input: 26/03/2026 | lanz

Institute of Nanoscience and Nanotechnology,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia