PENGANJURAN KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM PENELUR AGRIENGAGE@UPMS | INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2) ion2

PENGANJURAN KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM PENELUR AGRIENGAGE@UPMS

BINTULU: Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia Sarawak (PPP@UPMS), telah menganjurkan Kursus Pengurusan Penternakan Ayam Penelur di bawah inisiatif AgriEngage@UPMS susulan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat. Kursus ini dilaksanakan secara bersiri selama empat minggu berturut-turut sepanjang April 2026 sebagai usaha memperkukuh pemindahan ilmu dan kemahiran dalam bidang penternakan poltri.

Program ini disertai oleh peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk pengusaha ternakan, petani, serta individu yang berminat untuk menceburi bidang penternakan ayam penelur. Penyertaan turut melibatkan peserta dari pelbagai lokasi seperti Semenanjung Malaysia, Sabah, Kuching, Lawas, Limbang, Sibu, Sarikei Mukah, Kapit, serta Bintulu yang mencerminkan tahap keperluan serta minat yang tinggi terhadap pembangunan kapasiti dalam sektor ini.

Dari segi pelaksanaan, kursus ini dirangka menggunakan pendekatan pembelajaran bersepadu yang menggabungkan komponen teori dan amali. Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan peserta memperoleh kefahaman yang komprehensif serta kemahiran praktikal dalam aspek pengurusan ayam penelur yang sistematik, efisien dan lestari. Antara kandungan utama yang diketengahkan termasuk pengurusan pemakanan, kesihatan ternakan, biosekuriti, serta pengendalian pengeluaran telur secara komersial.

Menurut penyelaras kursus merangkap penceramah, Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna, kursus ini berperanan sebagai platform asas yang signifikan khususnya kepada peserta baharu dalam bidang penternakan ayam penelur. Bimbingan secara langsung oleh staf PPP@UPMS sepanjang sesi teori dan amali turut meningkatkan keberkesanan proses pemindahan ilmu serta memperkukuh kefahaman peserta terhadap amalan penternakan yang betul.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PPP@UPMS, Prof. Madya Dr. Hajah Amy Halimah binti Rajaee, menyatakan bahawa penganjuran program ini adalah selaras dengan aspirasi PUTRA, iaitu Pertanian untuk Rakyat, serta moto Universiti Putra Malaysia Berilmu Berbakti. Inisiatif ini turut menyokong agenda pembangunan pertanian lestari serta memperkukuh jaminan keselamatan makanan, khususnya di Sarawak.

PPP@UPMS turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini, termasuk tenaga kerja Cik Josephine Jawai Makos, Pn. Norbaya Che Rus, Pn. Jega Jantai, En, Khalid Nawi, En. Yusri Drahman, En. Mohammad Zarith Bin Majeri, En. Yngwie Cheng, Pn. Bangkit Melingai, Pn. Dawiyah Arbi, En. Benedict Miden, serta pihak pengurusan universiti. Sokongan berterusan daripada kepimpinan universiti, khususnya Pengarah UPMS, YBhg. Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini, telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program.

Secara keseluruhannya, penganjuran kursus ini dijangka memberi impak positif terhadap peningkatan keupayaan peserta dalam mengurus penternakan ayam penelur secara profesional. Ilmu dan kemahiran yang diperoleh diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti pertanian yang lebih berdaya saing dan mampan, selaras dengan aspirasi Sarawak menuju negeri maju dan makmur.

Date of Input: 15/05/2026 | lanz

MEDIA SHARING

INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
W, (03:12:08pm-03:17:08pm, 09 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]