PERTANDINGAN MELASTIK ANJURAN UPMS DAPAT SAMBUTAN HANGAT | INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2) 127

PERTANDINGAN MELASTIK ANJURAN UPMS DAPAT SAMBUTAN HANGAT

BINTULU: Pertandingan Melastik 2026 bertemakan Aim, Shoot, Score: Slingshot Battle mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan komuniti setempat di ruang legar Kompleks Akademik Pusat UPMS pada hujung minggu lalu.

Pertandingan julung kalinya anjuran Pusat Polis Bantuan dan Keselamatan Universiti (APSeC) UPMS itu telah mencipta sejarah tersendiri dengan menerima penyertaan menggalakkan daripada warga universiti serta masyarakat setempat termasuk kelompok yang hadir.

Pertandingan itu menyaksikan kehebatan peserta menguji ketepatan dan kemahiran melastik yang telah memeriahkan suasana sepanjang dua hari pertandingan tersebut berlangsung.

Pegawai Keselamatan APSeC UPMS Inspektor G/PB Carolyne Lua berkata, penganjuran pertandingan itu bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah berperanan sebagai platform untuk menggalak penglibatan warga universiti dan masyarakat dalam aktiviti sihat serta berfaedah.

Program seperti ini mampu membentuk interaksi yang positif, mesra komuniti, proaktif dan prihatin antara pasukan keselamatan universiti dengan komuniti sekitar, katanya.

Beliau berkata, ia juga mengukuhkan kepercayaan, kerjasama serta sokongan terhadap peranan Bahagian Keselamatan Universiti.

Katanya, pertandingan tersebut membuktikan komitmen APSeC UPMS dalam mendekati komuniti melalui pendekatan inklusif dan berimpak, sejajar dengan usaha memperkukuh keharmonian serta keselamatan persekitaran kampus.

Dua kategori utama dipertandingkan dalam acara ini iaitu Shoot To Score dan Collecting Point dengan menyaksikan persaingan sengit menampilkan bakat serta disiplin tinggi peserta sepanjang pertandingan.

Kategori Shoot To Score pada Sabtu menyaksikan gelaran johan disandang Muhammad Arif Fahmi Umar Jeffery manakala Hamir Zaini muncul sebagai naib johan.

Kedudukan tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam masing-masingnya diraih oleh Hairul Patimin, Ammar Fathullah Mohd Azril, Kaisar Kegelapan dan Donny Abdul Hamid.

Pertandingan pada Ahad pula menyaksikan dominasi Muhammad Arif Fahmi Umar Jeffery yang berjaya mengekalkan prestasi cemerlang apabila dinobatkan sebagai johan manakala Hairul Patimin pula meraih naib johan, diikuti Mohd Abdul Rahman Mohd Spuan meraih tempat ketiga, Will 7ss dan Mohd Khaizal Manan berkongsi tempat keempat dan Tuah Damit menduduki tempat kelima.

Johan menerima hadiah wang tunai RM300, naib johan menerima RM200, tempat ketiga menerima RM100, diikuti tempat keempat dan kelima masing-masingnya menerima RM50 dan keenam menerima RM20 berserta e-sijil sebagai pengiktirafan.

Date of Input: 26/03/2026 | lanz

MEDIA SHARING

INSTITUTE OF NANOSCIENCE AND NANOTECHNOLOGY (ION2)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397693000
0000
X, (06:17:44pm-06:22:44pm, 08 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]